الحمد لله و الصلاة و السلام على رسول الله و على آله وصحبه و سلم
Pada minggu yang lalu kita telah menjalankan aktiviti memperelok dan mempertingkatkan keceriaan kelas. Kebanyakan kelas telah dibersihkan dan diceriakan. Namun masih lagi terdapat beberapa kelas yang belum berbuat demikian. Dinding belum selesai di cat, susunan di dalam kelas belum teratur dan sebagainya. Ada juga yang menyedihkan cat yang digunakan tertumpah di lantai dan kelas yang dicat warnanya agak menakutkan.
Insyalah sekolah kita satu-satunya sekolah yang dicalonkan di Melaka sebagai sekolah klaster pada sesi ini. Penilaiannya akan bermula pada 24 April 2009 hingga 15 Mei 2009 akan datang. Penilai-penilainya adalah penilai-penilai peringkat kebangsaan dan kedatangan mereka tidak akan dimaklumkan bila.
Kita telah dimaklumkan dan mendengar kejayaan-kejayaan pelajar-pelaar kita dalam aktiviti kokurikulum. Kita ucapkan tahniah. Namun apa yang kita harus faham kejayaan-kejayaan itu semua tidak akan bermakna tanpa kejayaan kita di dalam akademik.
Apa yang perlu kita lakukan? Yang pertama kita perlu mencapai kejayaan dalam bidang akademik kerana itu telah menjadi fokus sekolah ini dan fokus orang luar terhadap sekolah ini. Yang kedua kita perlu berusaha untuk mencapai kecemerlangan syakhsiah kerana itulah fokus Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), ini membezakan sekolah kita dengan sekolah lain dan ia adalah merupakan foundation penubuhan SMKA.
Dua perkara ini perlu seiring di dalam diri kita. Semuanya kita haruskan terjemahkan dalam perlakuan kita. Di dalam tutur kata, kita perlu beradab sopan dan bertutur mengikut kesesuaian. Adakala kita perlu meninggikan suara contohnya sewaktu bercakap dikhalayak ramai dan adakala kita tidak perlu begitu. Begitulah sewaktu kita membuat aktiviti-aktivi yang lain perlu selaras dengan apa yang dianjurkan dengan agama.
Sifat tidak berpuas hati adalah sifat biasa seorang manusia. Contohnya kita tidak berpuashati dengan guru, sebagai yang bersifat manusiawi ia adalah fitrah. Namun ia harus dikawal dan di tuntun kerana kita terikat dengan adab-adab berguru dan menuntut ilmu. Kita diajar bagaimana contohnya Imam Syafie r.a begitu menjaga akhlaknya dihadapan gurunya. Pernah sekali beliau ditegur mengpa begitu perlahan menyelak lembaran bukunya. Katanya dia takut bunyi selakan helaian bukunya akan mengganggu konsentrasi gurunya. Imam al-Ghazali r.a telah menerangkan dengan terperinci berkaiatan dengan adab berguru dan menuntut ilmu, antaranya di dalam kitab Ihyak Ulumuddin. Saya yakin tidak akan berjaya manusia yang menzalimi gurunya.
Dr Agus Mustafa pernah menyatakan di dalam bukunya bahawa al-Quran merupakan sifir hidup manusia dan perjalanan hidup kita adalah bukti kebenaran al-Quran itu sendiri. Kita akan menjadi saksi akan kebenaran al-Quran (kalamullah). Jadi marilah sama-sama kita membina sahsiah diri kita dengan nilai-nilai adab.
(Adaptasi daripada ucapan Tn Hj Ariffin Omar di perhimpunan mingguan 13 April 2009)