21 Januari 2012

Program MPPPU SMKA Sultan Muhammad 2012M

Tirai 2012 SMKASM bermula dengan Program Kembara MPP Intelek 2012. Dengan penyertaan dan kejersama yang baik dari setiap anggota MPP PPU SMKASM, MyConcern dan dokongan pihak pengurusan program yang dirancang dapat berjalan dengan lancar. Walaupun pelbagai halangan terpaksa dilalui alhamdulillah akhirnya dapat juga dilaksanakan dengan baik. Suntikan yang diberikan dalam setiap slot yang dijalankan diharap dapat merubah minda dan menyubur jiwa gersang para peserta yang akhirnya diharap dapat menjana semangat kental dalam menzahirkan cita-cita diri,keluarga,bangsa dan negara.

15 Januari 2012

Berdamailah Dengan Takdir



Rasulullah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini,
"Ya Allah janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata."
 Mengapa? kerana diri kita lemah, ilmu cuma 'sekerat', kudrat kita terhad. Mana mungkin kita dapat mengharungi kehidupan yang begitu mencabar ini hanya bersandarkan kekuatan diri. Justeru, dalam doa itu Rasulullah saw berpesan agar serah dan pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah.
Kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita hanya penerima, kita bukan Pemberi. Yang memberi ialah Allah, dan Allah menegaskan apa yang diberikan-Nya untuk kita adalah baik belaka. Namun akal kita tidak akan mampu mengetahui rahsia di sebalik yang pahit, pedih dan sakit. Mahunya yang manis-manis sahaja. Apatah lagi nafsu. Ia akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kehendak tabi'e nya.
Apabila berlaku sesuatu yang berlawanan dengan kehendak diri, berlakulah stress, marah dan sedih. Itu biasa. Hal itu sentiasa berlaku dalam kehidupan kita. Yang luar biasanya, apabila kita memilih untuk 'berkelahi' dengan takdir. Kita tidak menerima 'warna-warni' kehidupan seadanya. Kita tidak berdamai dengan takdir sebaliknya memilih untuk memberontak, mempersoalkan dan melawannya. Persoalan kenapa? Mengapa? Sering menghantui jiwa.
Bayangkan kita sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam. Warna di kaki langit menjadi jingga, oren dan kuning keemasan. Kita melihat dan menikmatinya sahaja. Kita tidak berkata, "Sewajarnya ditambah warna kuning, dikurangkan warna jingga." Tidak! Kita tidak akan berkata begitu. Sebaliknya kita memilih untuk 'bersahabat' dengan alam dan menikmati lukisan alam seadanya. Hasilnya? Kita tenang. Kita menikmati alam seperti seadanya. Akur kepada Pencipta senja.
Ironinya, sikap kita tidak begitu apabila berdepan dengan 'lukisan takdir' pada kanvas kehidupan kita. Sedangkan lukisan alam dan lukisan takdir itu sama-sama datangnya daripada Allah. Mengapa kita memilih untuk berkrisis dengan ketentuan Allah dan tidak mahu menerima semua itu seadanya?
Berusahalah dengan segala upaya yang dikurniakan Allah. Tidak salah. Malah, kita dituntut untuk mencorakkan kehidupan sendiri dengan panduan serta kekuatan yang dibekalkan oleh Allah jua. Namun, setelah berusaha dan bersusah payah semaksimumnya, letakkan segalanya di pinggiran. Jangan sekali-kali bersandarkan kepada diri, namun bertawakkal, bersangka baik dan berdoalah kepada Allah. Apapun nanti hasilnya, katakan pada diri, "Aku harap yang baik, Allah akan memberi yang baik."
Jika yang diharapkan berlaku, maka bersyukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka maka bersabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Seringkali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan. Seringkali kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku. Namun, apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah takdirkan kita berundur ke belakang untuk mengambil lajak bagi melonjak lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan.

Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Kita akan terus berbaik sangka kepada Allah. Dia akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik setiap takdir-Nya. Ya, kita tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu sekelumit cuma. Namun apabila Allah yang Maha Penyayang telah memilih itu kita maka yakinlah kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya. Yang pahit itu akan menjadi ubat. Yang pedih itu akan menjadi penawar.Jika itulah suara hati kita, mana mungkin kita gelisah, resah dan stress keterlaluan? Yakinlah, kita hamba Allah. Allah tidak akan mengecewakan kita.

Motivasi Untuk Berjaya



Ramai manusia yang ketika hidupnya, dia terlupa untuk merasa diri sebagai hamba. Sehinggalah akhirnya kematian datang menjemputnya, ketika itu penyesalan dengan darah mata sekalipun tidak lagi bermakna.
Mereka ini adalah manusia yang mata hatinya telah dihijab oleh Allah untuk nampak kejelasan tanda-tanda-Nya yang cerah. Kerana mereka sendiri sebelumnya telah menjauhkan diri dari landasan kebenaran. Firman Allah,
"Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya) maka dia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya,"surah Al-Isra' ayat 27.
REDHA TUHAN = BERJAYA
Kita selalu bertanya kepada diri dan orang lain. Kita tanya:
Minta berikan sedikit motivasi, jalan manakah yang paling dekat dengan kejayaan?
Maka saya ingin menyebut jawapan sebegini:
Kita hidup adalah untuk mencari redha Allah SWT. Maka, kejayaan kita yang sebenar adalah apabila segala sesuatu yang kita lakukan adalah untuk mendapat redha Allah SWT.
Pada saya, di sini letaknya motivasi kejayaan kita yang paling besar sebenarnya.
Motivasi yang meletakkan Tuhan sebagai batu asas akan menemui jalan kejayaan yang paling hebat, paling bermakna.
Selaklah sirah baginda nabi, lihatlah kepada para sahabat baginda, telitilah kisah hidup ulama-ulama kita yang terdahulu, yang mereka ini luar biasa bagus dan hebat sekali, kita akan dapati motivasi kejayan mereka adalah redha Sang Pencipta.

PESANAN DR. A'LI JUM'AH
Kerana itu, saya suka untuk sampaikan kepada semua satu petua yang disebut oleh Mufti Mesir, Dr. Ali Jum'ah ketika kuliah beliau di Masjid Al-Azhar sebelum ini.
Kata beliau, setiap pagi ucapkanlah Allahu Maksudi, Wa Redha hu Matlubi (Allah tujuanku, dan redha-Nya lah yang kuharapkan).
Baca ini 7 kali setiap pagi, dan kita insyaAllah akan bergerak untuk menjadi manusia yang lebih baik hari itu.
Kata beliau lagi, pengulangan sebanyak tujuh kali ini sebagai kita memperkuatkan keinginan kita.
Penegasan bahawa kita sememangnya hidup atas tujuan menjadi hamba Allah dan dalam hidup kita, yang kita cari hanyalah redha-Nya.
Maka, pasakkan di dalam jiwa, kita adalah hamba-Nya.
"Serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar." Surah At-Taubah ayat 72..