01 Disember 2011

Kesan Tamadun Islam Terhadap Dunia Matematik



Pada awal kurun ke-7, satu tamadun baru muncul di tanah Arab. Dibawah pimpinan Muhammad s.a.w, dakwah yang bawa Rasulullah tersebar pesat dan luas menambat hati dan iman penduduk Semenanjung Arab.
Kurang satu abad selepas kota Mekah dibuka semula pada tahun 630, kerajaan Islam telah berjaya menyebar luaskan agama Islam sehingga ke India dan hingga ke tengah benua Asia bagi bahagian timur.
Di bahagian barat, penyebaran agama Islam lebih cepat berlaku terutamanya dibahagian utara benua Afrika. Pada Tahun 711, Islam berjaya sampai ke Sepanyol.
Hasil daripada penyebaran agama Islam hingga hampir dua per tiga dunia memberi perkembangan dan kemajuan kepada kerajaan Islam. Budaya Islam menjadi cara hidup manusia pada ketika itu.
Inilah titik permulaan kepada perkembangan ilmu pengetahuan. Agama Islam telah membawa satu budaya yakni budaya cintakan ilmu yang sangat besar peranannya kepada dunia ilmu pengetahuan.
Itulah cantiknya Islam, tidak pernah menolak bulat-bulat ilmu pengetahuan di dalam kehidupan.
Sejarah Matematik Islam
Ahli sejarah dan Ahli Matematik barat lebih suka merujuk perkembangan sejarah Matematik ditanah Arab sebagai Matematik Islam kerana ia adalah kesinambungan daripada ajaran Islam yang bawa Rasulullah yang mementingkan soal ilmu pengetahuan.
Perkembangan Ilmu pengetahuan banyak berlaku di zaman pemerintahan Abbasiyyah yang dalam masa yang sama Eropah masih di Zaman Gelap.
Oleh itu ilmu lebih banyak terbudaya dikalangan orang Islam manakala orang Eropah disekat hak untuk berfikir. Jadi, Matematik Islam lebih sesuai dengan daripada Matematik Arab.
Pada tahun 766, Khalifah Al-Mansur membuka kota Baghdad yang selepas itu menjadi tempat perkembangan Ilmu termasyhur didunia. Cendiakawan dan cerdik pandai dialu-alukan kedatangan mereka ke Kota Baghdad.
Khalifah Harun al-Rashid yang memerintah dari tahun 786 hingga 809 telah menubuhkan perpustakaan di Baghdad.
Manuskrip-manuskrip dikumpulkan dari pelbagai bidang dan akademi-akademi di timur barat terutamanya dari tamadun Yunani termasuk manuskrip Matematik Yunani Klasik dan teks-teks saintifik. Kemudian ia diterjemahkan ke bahasa Arab.
Penganti Harun al-Rashid, Khalifah Al-Ma'mun meneruskan usaha ini pada skala yang lebih besar dan sehingga tertubuhnya Baitul Hikmah yang bertahan selama 200 tahun.
Ilmuan-ilmuan dari seluruh bahagian dalam pemerintahan dijemput untuk menterjemahkan bahasa Greek dan India dan juga menjalankan penyelidikan.
Pada akhir kurun ke-9, pelbagai kertas-kertas kerja cendiakawan seperti Euclid, Archimedes, Apollionius, Diophantus, Plotemy dan ramai lagi ahli matematik Yunani diterjemahkan kebahasa arab untuk kegunaan ilmuan-ilmuan disana.
Ilmuan-ilmuan islam bukan hanya mengumpul kajian-kajian lama, bahkan mereka telah mengembangkan ilmu-ilmu kepada satu perspektit baru yang lebih releven.
Ini kerana ahli matematik sebelum mereka mengunakan matematik untuk perkara-perkara yang tidak penting kepada manusia seperti menghitung cinta dan sebagainya.
Di dalam Matematik Islam, ia lebih banyak digunakan untuk perkara-perkara yang praktikal dan berguna untuk manusia, dan juga disebut sebagai Sunnatullah.
Para Ilmuan Islam mengkaji dan berakhir dengan bertemu dengan Kebesaran Allah. Inilah beza antara saintis Islam dan saintis. Tujuan mereka adalah Allah.
Ilmuan Islam sentiasa memulakan kerja dengan lafaz "Basmalah".
"The mathematicians responded by always invoking the name of God at the beginning and end of their works and even occasionally referring to Divine assistance throughout the texts" -(Victor J. Katz)
Terpegun membaca ayat ini. Subhanallah, begitulah akhlak ilmuan Islam dahulu yang sentiasa mengingati Allah dalam setiap perkerjaan yang mereka lakukan. Sentiasa memulakan dan mengakhiri dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, serta segala apa yang mereka berjaya hasilkan, mereka dikembalikan pujian hanya kepada Allah.
Tidak seperti ahli matematik Yunani, Ilmuan Islam tidak hanya berdasarkan teori, bahkan juga secara praktikal untuk memudahkan kehidupan seharian manusia, atau hari ini dikenali sebagai Applied Math atau matematik gunaan.
Hari ini, satu sejarah lengkap tentang Matematik Islam masih belum ditulis, kerana masih banyak tinggalan manuskrip Ilmuan Islam yang masih belum dikaji di perpustakaan seluruh dunia.
Oleh kerana kepentingan politik yang memeningkan, akses kepada hasil kajian mereka yang penting disekat dan dilarang.
Namun, fakta asas tentang dunia Matematik Islam masih diketahui. Antara sebab penyekatan ini adalah untuk mengelak umat Islam sedar yang tamadun Islam sangat banyak menyumbang kepada percambahan ilmu pengetahuan pada masa ini.
Ia juga antara rancangan musuh Islam untuk melenyapkan kehebatan Islam dari pengetahuan umat Islam di Zaman ini.
Ahli matematik Islam banyak menyumbang untuk secara khususnya dalam penggunaan titik perpuluhan, dan juga mengembangkan topik Algebra secara tersusun dan juga dalam topik Geometri.
Beberapa penambahbaikan dalam topik Trigonometri. Apabila Eropah keluar dari Zaman Gelap, mereka tidak memerlukan masa yang banyak untuk mengejar apa yang mereka terkebelakang kerana semuanya hampir lengkap. Hanya perlukan penjenamaan semula dan kembangkan ilmu itu.
(Olahan semula dari buku A History Of Mathematics: An Introduction; Victor J. Katz: Chapter The Mathematics of Islam)
Sejarah ditulis oleh pemenang
Hari ini, banyak formula-formula dan tajuk-tajuk matematik terabadi nama ilmuan barat didalamnya. Walaupun hakikatnya mereka hanya menjenamakan semula apa yang telah ada dalam dunia matematik Islam. Nama-nama ilmuan Islam tidak terabadi dalam sebarang teori-teori dan formula-formula matematik.
Hanya nama-nama seperti Euclid, Newton, Einstein, Diophantus, Sarrus, Fibonacci dan sebagainya lebih banyak diabadikan.
Mungkin nama-nama ilmuan Islam tidak diabadikan bertujuan untuk menjauhkan Islam daripada disebut dalam lecture dan supaya Islam dilihat tidak significant dengan Ilmu. Sekadar pandangan.
Ayuh budayakan semula budaya cintakan Ilmu supaya kita turut maju kehadapan dan kita hapuskan salah tanggapan dunia kepada Islam. Kembalilah kepada Islam.
Hujung Akal, pangkal Agama. Ilmu ditimba diakhirnya bertemu dengan Kebesaran Allah, Tuhan Yang Mengetahui.

Mengapa Perasaan Perempuan Selalunya Lemah



Duhai Hawa, mengapa kita terlalu lemah? Saya selalu terfikir mengapalah perasaan perempuan itu selalu lembut dan tersentuh. Bukan kita tak pernah dengar, sekeras-keras hati perempuan, akan lembut juga. Kerana itu rasanya Allah jadikan ibu seorang perempuan.
Seorang ibu itu dia lembut dalam garang, marah dalam sayang. Dua sifat antagonis ni sangat sebati dalam diri seorang insan bergelar Hawa. Kadangkala sensitifnya terlebih, adakalanya penyayang bukan main lagi.
Peliknya, untuk memahami perasaan naluri diriku sendiri, hatiku kadangkala seperti sebuah sampan di atas ombak yang kuat. Bergulir-gulir tanpa tujuan walaupun sudah dikayuh dengan kuat ke arah yang sudah ditetapkan.
Benar umum sudah mengetahui, cinta kepada Allah itulah paling hakiki. Tetapi untuk mereliasasikan cinta itu tidak semudah seperti sebutan di lidah semata. Banyak halangan yang perlu ditempuhi dan cabaran yang selalu menarik-narik diri ini untuk beralih arah dari mencapai Ilahi.
Benar, hakikatnya untuk mencapai cinta Ilahi ini, tidak cukup hanya dengan mentaati perintah-Nya semata-mata, dengan hanya menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulan Ramadhan dan juga membaca Al-quran.
Tetapi memerlukan pengorbanan yang lebih besar dari itu! Betapa ramai manusia hatta orang-orang soleh sendiri gagal dalam meraih cinta dari Allah saat kematian mereka kerana gagal melaksanakan perintah ini.
Itulah menahan diri dari perkara-perkara yang dimurkai Allah. Sukarnya menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang Allah larang kerana nafsu kita sangat-sangat cenderung kepada perkara tersebut.
Saidina Umar pernah berkata : "Seorang yang memiliki kualiti taqwa adalah seperti seorang yang berjalan di atas jalan berduri dengan berhati-hati. Seperti mana dia sangat berhati-hati untuk memastikan pakaiannya tidak terkena duri tersebut seperti itu jugalah seorang yang bertaqwa itu harus berhati-hati dalam setiap perbuatan yang dilakukannya."
Saidina Ali juga pernah berkata : "Taqwa adalah takutkan Allah, berbuat seperti mana yang disuruh oleh Allah, puas dengan apa yang ada dan bersiap sedia untuk hari pelepasan (kematian)."
Indahnya kata-kata mereka.
Kadang-kadang aku rasa marah pada diri sendiri. Kenapalah susah sangat nak menahan hawa nafsu? Terutama dalam perkara-perkara untuk menundukan pandangan. Memang benarlah firman Allah :
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka...." (Surah An-Nur : 30-31)
Kerana pandangan itulah akar kepada banyak maksiat yang berlaku sesama berlainan jantina.
Bagi aku, kadangkala sikap 'double standard' selalu ada apabila berhadapan dengan kawan yang bukan muslim. Namun rasanya tidak boleh sebegitu kerana dari situlah kita dapat berlatih untuk membersihkan hati kita.
Paling penting bukanlah menundukkan pandangan dengan menundukkan pandangan mata semata-mata, namun adalah menundukkan perasaan. Jika hawa dan adam berbual tanpa memandang sesama sendiri, namun jika gagal mengawal perasaan, banyak juga boleh jadi.
Selain itu, mungkin saja kita gagal dari menahan diri dari menonton rancangan televisyen yang mungkin mendedahkan aurat-aurat yang tidak patut kita nikmati.
Bukan itu sahaja, mungkin sahaja kita memandang kawan sekelas kita dengan merasakan sesuatu di dalam hati.
Dalam umur yang memasuki dewasa ini, perasaan adalah satu-satunya harta berharga yang perlu dijaga. Dan alangkahnya susah sebenarnya.
Oleh kerana itu kita lihat ramai orang solat dan menutup aurat namun tidak ramai yang dapat menjaga pergaulan. Sungguh, jalan menuju redha Allah penuh dengan duri dan jalan ke neraka penuh dengan keenakan duniawi.
Kaum Hawa, kuatkan jati dirimu dan lindungilah tamanmu dari dicemari oleh pandangan orang yang bukan menjadi hakmu.
Kaum Adam, peliharalah hatimu dari menjadi milik selain dari Rab-Mu. Semoga kita semua menang dalam menempuhi ujian di dunia ini. Ameen!

Maruah vs Nyawa



alt
Topik yang mahu saya kongsikan pada kali ini ialah"Maruah VS Nyawa. Yang Mana Lebih Berharga?"
Antara pendapat yang agak menarik perhatian saya ialah semasa berdiskusi dengan para pelajar saya.
Hiruma Youichi: 'Ok cuba kalau ko hidup tapi tak ada maruah langsung,orang panggil ko benda pelik-pelik macam ko ni sampah masyaraka lah itulah, inilah. Kalau ada maruah masa mati orang ingat lagi, dengan maruah je ko boleh terus hidup.'
Sara Sapura: 'Aku rase la maruah . Sebab maruah merupakan kehormatan diri yang mesti di jaga dan Allah sudah pun pertanggungjawab kita untuk di jaga.'
Layla Ashla: 'Maruah la sebab mana hendak cari ganti kat dunia ni. Bak kata ustazah Aishah mana ada 'spare part' kat dunia ni.'
Rata-rata memilih 'maruah' sampaikan saya terfikir:
"Eh, tak ada pun yang pilih nyawa. Nyawa ni tak penting ke?"
Hmm..saya mengingatkan diri saya bahawa semua pendapat ini adalah daripada remaja yang berumur 14 tahun sahaja. Jari-jemari saya mula rancak menari di atas papan kekunci komputer riba saya.
Saya agak teruja untuk mengutarakan pendapat saya. Tidaklah begitu bernas dan jitu tetapi saya gemar berdiskusi mengenai hal sebegini rupa. Sebelum itu, saya teringat akan satu firman Allah S.W.T dalam Surah as-Syu'ara.
Kelam-kabut saya dibuatnya semasa mencari buku yang mengandungi ayat al-Quran itu. Al-maklumlah saya ini bukanlah berpengetahuan luas dalam bidang ilmu agama. Tersangat cetek ilmu agama saya ini.
Nama sahaja seorang Muslim tetapi tidak mahir dan berpengetahuan dalam agama sendiri. Malu sungguh saya pada diri sendiri dan pada Pencipta saya. Seakan-akan saya ini seorang yang bertopengkan Islam sahaja. Astaghfirullah.
Kembali semula kepada topik tadi. Baiklah. Izinkan saya mengutarakan pendapat peribadi saya sendiri. Sebelum itu, ampunkan saya jika terdapat percanggahan dan kesilapan dalam saya membentangkan pandangan saya.
Apa itu maruah dan nyawa?
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, maruah bermaksud keberanian, kegagahan, kehormatan diri dan harga diri. Manakala nyawa pula bermaksud roh yang menghidupkan manusia (haiwan dan lain-lain), jiwa dan semangat.
Jika kita ditanya dengan soalan sebegini rupa, mungkin agak sukar bagi kita untuk memilih antara 'maruah' dan 'nyawa'. Bagi saya, kedua-duanya amat penting dan berharga dalam kehidupan manusia. Jadi, setelah bertafakur sebentar, saya membuat keputusan untuk memilih maruah dan nyawa.
Allah S.W.T telah berfirman di dalam Surah as-Syu'ara ayat 83-84 yang bermaksud:
"Wahai Tuhanku, berikan daku ilmu pengetahuan agama dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh. Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Dan jadikanlah daku daripada orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun Naim."
Ini adalah doa Nabi Ibrahim a.s kepada Allah S.W.T. Cuba perhatikan ayat yang saya highlightitu. Sedangkan Nabi Ibrahim a.s pun meminta nama yang baik dalam kalangan manusia.
Kenapa kita pula tidak mahu nama yang wangi? Nama yang baik datangnya daripada maruah yang terpuji.
Benar pandangan pelajar saya bahawa maruah itu penting bagi seseorang. Tanpa maruah diri maka hilanglah nilai seseorang itu. Jika hilang nilai sebagai seorang manusia, jadi apakah ia masih boleh dipanggil manusia?
Sebagaimana yang kita ketahui, Islam sangat mementingkan maruah diri. Oleh sebab itu, Islam telah menggariskan pelbagai panduan yang perlu umat Islam patuhi. Contohnya menutup aurat, cara pergaulan, percakapan, tingkah laku dan sebagainya.
Mengapa Allah S.W.T menyuruh kita mematuhi semua yang ditetapkan untuk menjaga maruah diri? Tujuan utama kita diwajibkan menjaga maruah diri ialah supaya kita dijauhi daripada maksiat.
Maruah juga melambangkan harga diri seseorang dan sesuatu bangsa. Sebagai umat Islam, kita perlu tahu apa itu maruah diri seorang Islam supaya dapat menjaga kehormatan diri dan kesucian agama Islam itu sendiri.
Pada masa kini, banyak mata yang memandang serong kepada Islam. Mereka sedaya-upaya mencari kelemahan dan kesalahan umat Islam. Pendek kata, maruah adalah nilai diri kita, hidup mati kita, kita mesti memiliki dan mempertahankannya walaupun terpaksa mengobankan harta dan nyawa.
Maruah tidak boleh digadai atau dijual beli. Demi menjaga maruah, darah dan nyawa menjadi tebusan. Begitulah tingginya harga maruah pada manusia.
Memanglah maruah itu tidak dapat dilihat dan disentuh tetapi kita boleh merasai bahawa maruah itu wujud dalam diri kita. Sifat yang paling hampir dengan maruah adalah malu. Jika perasaan malu itu masih tersemat dalam diri,Insya-Allah maruah diri akan sentiasa terpelihara.
Sekarang kita lihat kepada kepentingan nyawa pula. Islam amat mementingkan keselamatan nyawa kerana nyawa adalah anugerah Allah S.W.T yang sangat berharga dan sebarang perbuatan yang cuba mengancam anugerah tersebut amatlah dicela. Jadi, tidak pentingkah nyawa bagi kita?
Firman Allah S.W.T:
Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang- orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Al-Baqarah 2:195)
Diriwayatkan dari Jundab r.a:
Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda:"Seorang lelaki terluka dan bunuh diri, maka Allah S.W.T berkata:"Hamba-Ku mendahului-Ku dengan membunuh dirinya sendiri maka Aku haramkan syurga untuknya."
Fenomena bunuh diri amat membimbangkan dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Jika ditimpa masalah sahaja, jalan penyelesaiannya ialah bunuh diri. Dangkal dan naif sungguh pemikiran ini.
Tidak sedarkah wahai manusia, Allah S.W.T tidak akan menguji dan membebankan diri kita dengan sesuatu kecuali sesuai dengan kemampuannya. Senario ini memberi gambaran bahawa nyawa langsung tidak ada makna dalam hidup seseorang.
Nyawa yang yang dimiliki bagai dipandang enteng. Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W melarang kita daripada melakukan kezaliman kepada diri sendiri. Ini adalah satu contoh yang boleh saya kaitkan dengan nyawa kita.
Mari kita bermuhasabah sebentar. Apa tujuan kita dilahirkan di dunia ini dan mengapa Allah S.W.T mengutuskan Malaikat untuk meniupkan roh kepada kita semasa proses penciptaan manusia?
Adakah semata-mata mengejar kemewahan dan keseronokan duniawi?
Ingatlah bahawa kita pernah berjanji kepada Ilahi semasa di alam roh dulu. Apa janji kita pada Allah S.W.T?
Mungkin ada yang tidak tahu yang kita pernah mengikat janji kepada Al-Khaliq. Kita pernah mementerai satu perjanjian dengan Allah S.W.T di mana kita mahu bertuhankan kepada-Nya. Ingatan buat diri saya dan kepada sesiapa yang sedang membaca entry ini.
Nyawa yang dipinjamkan oleh ar-Rahman adalah sangat bernilai. Jika dikumpul harta kekayaan di seluruh dunia sekalipun tidak mampu membayar harga sebuah nyawa. Sebagai seorang Muslim, gunakanlah nyawa yang diberikan untuk mengejar syurga-Nya.
Setiap mukmin yang panjang umurnya mempunyai banyak peluang untuk ia beramal ibadat kepada Allah S.W.T sebagai bekalan di akhirat nanti. Jadi, bolehlah saya menyangkal jika ada yang mengatakan nyawa itu kurang penting jika dibandingan dengan maruah.
Ini bukan bermaksud kita hanya perlu fokus kepada akhirat sahaja. Kita hendaklah bersikap professional di antara dunia dan akhirat. Saya ada terbaca satu hadis di dalam buku 'Hadis 40 Imam Nawawi' yang bertajuk 'Mengambil Dunia untuk Keselamatan Akhirat. Suka untuk saya kongsikan hadis ini dengan anda semua.
Diriwayatkan oleh Ibn Umar r.a, beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W telah memegang belakang beliau lalu bersabda:
"Jadilah kamu di dalam dunia itu sebagaimana kamu seorang yang asing, ataupun pengembara." Ibnu Umar R.A berkata: "Jika kamu berada di petang hari, maka jangan kamu tangguh sehingga ke pagi hari keesokannya, dan jika kamu berada pada waktu pagi, maka janganlah berrtangguh sehingga ke petang hari."(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Hadis ini mengingatkan setiap Muslim agar tidak terlena di dunia kerana kita tidak sepatutnya menjadikan dunia ini sebagai tempat tinggal yang abadi. Ambillah hanya sekadar keperluan sahaja yang mampu menjadi bekalan dalam perjalanan kita ke akhirat sana.
Namun, tidak dinafikan kita sering terlupa bahawa dunia yang kekal adalah akhirat. Kita berlumba-lumba mengejar pangkat, wang dan sebagainya seperti dunia inilah destinasi terakhir kita. Mungkin kerana itu, kita sering mengeluh dan berasa kecewa tatkala diri dilanda musibah.
Dengan menggunakan akal yang cetek dengan pengetahuan agama, kita merasakan tiada sesiapa yang mampu membantu diri keluar daripada belenggu permasalahan. Paling menyedihkan, sesetengah daripada kita mengambil jalan pintas dengan membunuh diri.
Dia seakan-akan lupa akan matlamat kehidupan di bumi ini dan mengapa Allah S.W.T mengurniakan nyawa kepada dirinya. Na'uzubillahimin alik. Semoga perkara ini tidak terjadi kepada diri saya dan anda semua.
Saya tertarik hati dengan pendapat yang diutarakan oleh teman seperjuangan saya di SMAN:
Aisah Sekbong : 'Nyawa tu penting kerana tanpa nyawa jasad tiada gunanya,dengan nyawa kita mampu untuk mengutip sebanyak mana bekal bagi meneruskan perjalanan menuju alam yang abadi bagi menikmati bekal yang dibawa,nyawa penting kepada umat Islam dengan nyawa kita boleh mempertahankan Islam,tanpa Islam nyawa juga tiada gunanya, sebab itulah para pejuang sanggup kehilangan nyawa demi Islam,nyawa itu adalah roh, jasad yang syahid bersama Islam akan menjamin rohnya dapat bertemu Rabuljalil dalam keadaan yang diredhai maka bahagia lah roh buat selamanya.'
Kesimpulannya ialah maruah dan nyawa sangat penting kepada seseorang Mukmin. Saya pasti bukan Islam sahaja yang menganjurkan supaya umatnya menjaga maruah dan nyawa. Agama-agama lain pun begitu juga. Kata-kata terakhir saya petik dari sebuah blog:
"Harga nyawa manusia bergantung kepada kewarasannya. Maruah manusia bergantung kepada nilai kemanusiannya."
Wallahualam.