09 Julai 2012

Dari Mimbar Mudir : Selangkah Ke Arah Kecemerlangan



Ucapan Tn Pengetua.
Tahniah buat semua pelajar kerana pada minggu lepas diumumkan disiplin berada dalam keadaan terbaik, begitu juga dengan kebersihan dan keceriaannya. Ulasan-ulasan dan komen membina ini perlu sebagai pemangkin kepada kecemerlangan. Program-program yang telah berjalan samada kurikulum, kokurikulum dan kerohanian telah berjalan dengan baik. Sepanjang pemantauan saya pada malam tadi program yang dijalankan sangat baik. Iaitu dua orang pelajar telah menyampaikan tazkirah untuk mengisi ruang masa yang ada. Ini merupakan latihan untuk membina jati diri seorang pemimpin. Walaubagaimanapun, di sana ada yang perlu dipertingkatkan iaitu dari sudut pendengar. Pendengar perlu lebih beradab dan beretika dalam majlis ilmu. Sikap dan akhlak seumpama ini perlu dipraktikan dalam hidup kita seharian. Seorang pemidato yang hebat bermula dengan menjadi seorang pendengar yang hebat.
Kita masih lagi berada dalam penantian untuk dipantau dan dinilai sebagai SKK. Harapannya agar kita terus bersedia untuk itu. Selain itu diharap setiap pelajar tahu apakah kebitaraan sekolah, misi,visi dan motonya. Selain itu kalau dapat setiap pelajar diharap bersedia dengan serangkap pantun,sajak atau syair. Ianya untuk menzahirkan bahawa kebitaraan kita sudah membudaya di iklim sekolah kita.
Published with Blogger-droid v2.0.6

03 Julai 2012

Muhammad The Last Prophet Movie

Hukum Puasa, Solat & Doa Pada Nisfu Sya’ban


Petikan Fatwa Fadhilah Mufti Mesir Prof. Dr Ali Jum'ah.
Apa hukum melakukan solat dan doa pada malam nisfu Sya'ban seterusnya berpuasa pada siang harinya?
Jawapan :
Malam nisfu Sya'ban merupakan malam yang barakah. Terdapat sebilangan besar dalil yang menyebut tentang kelebihan malam nisfu Sya'ban daripada hadis-hadis (Nabi S.A.W) yang saling menguatkan antara satu sama lain serta mengangkat (hadis-hadis tersebut) ke darjat Hadis Hasan dan Kuat (dari segi hukumnya).
Maka mengambil berat terhadap malam nisfu Sya'ban serta menghidupkan malamnya adalah sebahagian daripada agama yang tiada keraguan padanya. Adapun keraguan yang timbul adalah disebabkan pandangan terhadap hadis-hadis yang barangkali hukumnya Dhaif yang menceritakan tentang kelebihan malam tersebut.
Antara hadis-hadis yang menceritakan tentang kelebihannya :
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْها قَالَتْ : "فَقَدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَخَرَجْتُ أَطْلُبُهُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ رَافِعٌ رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ :يَا عَائِشَةُ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قَالَتْ :قَدْ قُلْتُ وَمَا بِي ذَلِكَ وَلَكِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ" - رواه الترميذي وابن ماجه وأحمد .
Hadis daripada Ummul Mukminin Sayidatina 'Aisyah R.A telah berkata : "Aku telah kehilangan nabi S.A.W pada suatu malam, maka aku telah keluar untuk mendapatinya maka baginda berada (sedang berdiri di kawasan perkuburan) Baqi' sambil mendongakkan kepalanya ke langit. lalu baginda berkata : Wahai 'Aisyah, adakah kamu takut Allah dan Rasulnya melakukan kezaliman ke atas kamu? Berkata 'Aisyah : Bukan demikian sangkaanku tetapi aku menjangkakan kamu telah pergi kepada sebahagian daripada isteri-isteri kamu (atas perkara-perkara yang mustahak lalu aku ingin mendapat kepastian). Lalu baginda bersabda : Sesungguhnya Allah Ta'ala telah turunkan (malaikatNya dengan perintahNya) pada malam nisfu Sya'ban ke langit dunia, lalu Allah mengampunkan dosa-doa (yang dilakukan oleh hambaNya) lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu yang terdapat pada kambing-kambing peliharaan (bani) Kalb."
[Hadis Riwayat Al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Imam Ahmad.] 
Seterusnya,
عن مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى جَمِيعِ خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ " - رواه الطبرانى وصححه ابن حبان .
Hadis daripada Saidina Mu'adz ibnu Jabal R.A bahawa nabi S.A.W telah bersabda :"Allah memandang pada kesemua makhluk ciptaanNya pada malam nisfu Sya'ban, lalu Allah mengampunkan dosa-dosa kesemua makhlukNya melainkan dosa orang musyrik  (yang menyekutukan Allah)  dan dosa orang yang bermusuhan." 
[Riwayat Al-Tobrani dan disahihkan oleh Ibnu Hibban.] 
Seterusnya,
عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ كرم الله وجهه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ أَلَا مِنْ مُسْتَغْفِرٍ لِي فَأَغْفِرَ لَهُ أَلَا مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ أَلَا مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ أَلَا كَذَا أَلَا كَذَا حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ" - رواه ابن ماجه .
Hadis daripada Saidina 'Ali R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda : "Apabila masuk malam nisfu Sya'ban, maka hendaklah kamu bangun pada malamnya dan berpuasa pada siang harinya, Sesungguhnya Allah Ta'ala menurunkan malaikatnya ke langit dunia pada malamnya setelah terbenamnya matahari, lalu Allah berkata : Sesiapa yang memohon keampunan padaKu maka Aku akan mengampunkan baginya, Sesiapa yang memohon rezeki padaKu maka Aku akan memberikannya rezeki, Sesiapa yang ditimpa musibah maka Aku akan melepaskannya, sesiapa yang demikian...sesiapa yang demikian ...sehinggalah terbitnya fajar." 
[Riwayat Ibnu Majah] 

Tidaklah mengapa seandainya membaca surah Yasin sebanyak 3 kali selepas solat maghrib secara terang-terangan dan beramai-ramai. Hal ini kerana termasuk dalam perkara menghidupkan malam tersebut dan perkara berkaitan dengan zikir ruangannya adalah luas. Adapun mengkhususkan sebahagian daripada tempat dan waktu untuk melakukan sebahagian daripada amalan soleh secara berterusan adalah termasuk dalam perkara yang disyariatkan selagi mana seseorang yang melakukan amalan tersebut tidak beri'tiqod (menjadikannya sebagai pegangan) ; bahawa perkara tersebut adalah wajib di sisi syara' yang membawa hukum berdosa sekiranya meninggalkannya.
Hadis daripada Ibnu Umar R.A telah berkata :
عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : "كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ كُلَّ سَبْتٍ مَاشِيًا وَرَاكِبً" - متفق عليه .
"Nabi S.A.W akan mendatangi masjid Quba pada setiap hari Sabtu
samada dengan berjalan ataupun menaiki tunggangan."
[Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.] 
Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitabnya (Fathul Bari) :
"Di dalam hadis ini walaupun berbeza jalan-jalan pengriwayatannya menunjukkan kepada (hukum) harus mengkhususkan sebahagian hari-hari untuk melakukan sebahagian daripada amalan-amalan soleh serta melakukannya secara berterusan." -tamat
Berkata Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya (Lathoif Al-Ma'arif) :
"Ulama' di Syam telah berselisih pandangan dalam menyifatkan cara untuk menghidupkan malam nisfu Sya'ban kepada dua pandangan.
Pertamanya :
Adalah disunatkan menghidupkan malamnya secara berjamaah di masjid.
Khalid ibn Ma'dan dan Luqman ibn 'Amir dan selain daripada mereka telah memakai sebaik-baik pakaian, dan mengenakan wangian serta mengenakan celak pada mata serta mendirikan malamnya dengan ibadah.
Dan Ishaq ibn Rahuyah bersepakat dengan pandangan mereka terhadap perkara tersebut dan berkata dalam masalah mendirikan malamnya dengan ibadah di masjid secara berjamaah : "Perkara tersebut tidaklah menjadi bid'ah." Kalam ini dinukilkan oleh Harb Al-Kirmani di dalam kitab Masail nya.
Keduanya :
Sifatnya adalah makruh penghimpunan pada malamnya di masjid untuk melakukan solat serta bercerita dan berdoa. Dan tidak makruh sekiranya seseorang itu melakukan solat secara bersendirian. Ini adalah pandangan Al-Auzaie Imam Ahli Syam dan Ahli Faqeh dan 'Alim." -tamat
Kesimpulannya :
Maka menghidupkan malam nisfu Sya'ban sama ada secara berjamaah ataupun secara bersendirian sebagaimana sifat yang masyhur dikalangan orang ramai dan selainnya adalah perkara yang disyariatkan dan tidaklah menjadi bid'ah dan tidaklah menjadi makruh dengan syarat tidak menjadikan amalan tersebut sebagai suatu kemestian dan kewajipan.
Sekiranya amalan tersebut diwajibkan ke atas orang lain serta menghukum kepada mereka yang tidak mengikutinya dengan hukum berdosa maka menghukumkan dengan hukum dosa itu yang menjadi bid'ah kerana mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya S.A.W. Inilah makna yang menjadikannya makruh sebagaimana pandangan para salafussoleh terhadap hukum makruh dalam menghidupkan malam nisfu Sya'ban. Adapun menghidupkan malamnya sebagaimana hakikat asalnya maka perkara tersebut adalah disyariatkan dan tidaklah menjadi makruh.
Oleh itu, digalakkan menghidupkan malamnya dengan ibadah dan siangnya dengan puasa.

Petikan Fatwa Fadhilah Mufti Mesir Prof. Dr Ali Jum'ah.
Terjemahan : Ibnu Juhan Al-Tantawi
Sumber : Majalah Minbar Al-Islam, keluaran tahun ke-(68), bil (8) Sya'ban 1430, m/s 136.

Cinta Kepada Pencipta


Alhamdulillah, sejak Fiq mula mengenali dan cuba mengamalkan ajaran-ajaran Islam dalam hidupnya, dirinya makin terasa tenang dan hidupnya telah banyak berubah.
Daripada seorang yang kurang mempunyai rasa malu berbanding rakan-rakannya yang lain, Fiq kini telah mula rasa malu untuk melakukan perkara-perkara yang kurang manis dilakukan oleh seorang gadis sepertinya.Dia juga berusaha menutup auratnya mengikut syariat-syariat Islam walaupun pada mulanya dia teragak-agak untuk berubah kerana bimbang dirinya tidak dapat beristiqamah dengan perubahan yang bakal dilakukannya.
Fiq juga berusaha sedaya upaya agar dirinya mengadu hanya kepada pencipta-Nya. Pada mulanya, hal ini amat sukar kerana dia adalah seorang yang suka bercerita kepada rakan-rakannya perihal setiap perkara yang berlaku kepadanya. Namun, dia berusaha sedaya mungkin untuk berubah atas kesedarannya bahawa hanya Allah yang benar-benar memahami dirinya dan Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Seperti kebanyakan gadis-gadis seusianya, dirinya juga tidak terkecuali daripada fitrah seorang manusia yang ingin dicintai dan mencintai. Jika dahulunya, dia sering berasa cemburu melihat rakan-rakan mempunyai teman masing-masing, kini semuanya sudah berubah. Persepsinya sudah beralih arah. Apa yang bermain di dalam hati dan fikirannya hanyalah ingin meraih cinta Yang Maha Agung.
Namun, dalam perjalanannya meraih cinta Ilahi, hadir seorang Adam yang ingin merebut hatinya. Si Adam berusaha menarik perhatian Fiq, namun, pada masa yang sama, masih menjaga batas-batas yang telah digariskan agama. Pada mulanya, Fiq juga seakan-akan memberikan respons kepada si Adam, kerana baginya, si Adam adalah seorang yang baik dan mengambil berat akan dirinya.
Hari demi hari berlalu. Ingatan Fiq terhadap si Adam semakin lama semakin mendalam. Setiap pergerakannya pasti didahului dengan ingatan terhadap si Adam. Namun, Fiq merasakan bahawa hatinya mula sakit, dirinya rasa gelisah tatkala ingatannya kepada si Adam makin mendalam. Dia merasakan bahawa cintanya terhadap Sang Pencipta kian pudar.
Hatinya merintih kerana sebelum ini, amat sukar baginya untuk meraih cinta Ilahi. Pelbagai dugaan terpaksa ditempuhinya. Tapi setelah dia mula belajar mencintai Penciptanya, kini dirinya diduga dengan perasaan terhadap si Adam. Fiq berasa amat sedih kerana apa yang diinginkan sebenarnya adalah cinta Sang Pencipta, bukannya cinta makhluk yang diciptakanNya.
Hanya doa kepada Sang Pencipta yang mampu dipinta, agar dikuatkan hati dan dilindungi daripada bisikan musuhNya. Fiq masih mendambakan cinta Sang Penciptanya, kerana dia yakin itulah cinta yang hakiki. Biarlah dia meraih cinta si Adam yang mencintai penciptanya kerana sesungguhnya berkasih sayang kerana Allah itulah yang dicarinya.
Setiap kali dalam doanya, dia meminta, "Ya Allah, hilangkanlah rasa cintaku ini jika dia bukan untukku, namun jika dia adalah jodohku, hadirkanlah rasa ini setelah dia sah menjadi suamiku, kerana sesungguhnya aku hanyalah inginkan cinta yang halal buat diriku. Sesungguhnya, aku mencari cinta orang yang mencintaiMu dan sesungguhnya aku mendambakan cintaMu yang Maha Suci."

MAJLIS PENUTUP IHYA RAMADAN 1443 H/2022 M

 Alhamdulillah pada 29/4/2022 bersamaan hari Jumaat telah berlangsungnya Majlis Penutup Ihya Ramadan bagi tahun 2022.Program ini diadakan se...